Bek tengah Malaysia, Dion Cools hampa apabila Buriram United tewas mengejut kepada Ventforet Kofu dalam aksi kedua Kumpulan H hari ini.
Dengan status Kofu sebagai pasukan J2 League, kelebihan dilihat memihak kepada Thunder Castle di atas kertas.
Ini dapat dilihat menerusi tujuh percubaan yang dilakukan barisan serangan pelawat tetapi hanya satu percubaan tepat pada babak pertama. Dan itu sudah cukup buat VFK mempertahankan keputusan 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Buriram terus bergelut mencari peluang gol. Ini mendorong jurulatih interim Arthur Papas membuat beberapa pertukaran untuk menambah bisa serangan pelawat.
Malangnya, anak-anak buah Yoshiyuki Shinoda terus cemerlang mengekang asakan pasukan pelawat.
Sebaliknya, VFK mengejutkan pelawat dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi Motoki Hasegawa pada minit ke-90.
Kemenangan ini dianggap bersejarah buat tuan rumah kerana ini kemenangan pertama kelab J2 League dalam sejarah ACL.
Walaupun kalah, Cools tetap tenang mengemudi pertahanan Buriram yang menggunakan formasi 3-5-2. Ini dibuktikan dengan markah Sofacore sebanyak 7.2 buat dirinya.
Prestasi konsisten Cools diharap dapat diteruskan apabila Harimau Malaya mengharungi kempen Pestabola Merdeka yang bakal bermula pada 13 Oktober ini.