Kelab Liga Super China (CSL), Shandong Taishan mencipta kejutan dengan mengalahkan wakil K-League 1, Incheon United di Pusat Sukan Olimpik Jinan hari ini.
Kedua-dua pasukan tahu satu lagi kemenangan dalam Kumpulan G bakal mencerahkan peluang mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL musim 2023-2024.
Babak pertama menyaksikan perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan. Bagaimanapun, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Segalanya berubah pada babak kedua. Pasukan yang diberi jolokan Taishan Dui itu mendahului pada minit ke-54 menerusi pemain tengah Li Yuanyi.
Incheon makin malang apabila bek tengah Kweon Han-jin menjaringkan gol sendiri pada minit ke-65.
Pasukan pelawat terus ditimpa malang apabila Taishan dianugerahkan sepakan penalti. Penyerang gantian, Cryzan tenang menewaskan penjaga gol Kim Dong-heon untuk gol ketiga perlawanan.
Tuan rumah terus memburu gol seterusnya tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini meletakkan Taishan sebagai pendahulu sementara Kumpulan G dengan sembilan mata.
Bagaimanapun, itu boleh saja berubah sekiranya wakil Jepun, Yokohama F. Marinos merekodkan kemenangan besar ke atas wakil Filipina, Kaya FC Iloilo.
Yuanyi diangkat sebagai pemain terbaik Taishan Dui dengan markah 7.3 oleh Sofascore.
Sementara pemain import Incheon, Paul-Jose Mpoku pula diangkat sebagai pemain terbaik mereka dengan penilaian 7.5 mata.