Advertising
ACL2: Bangkok United ‘Rantai’ Sydney
MakanBola
Sydney FC

Hajat Sydney FC meraih kemenangan di Stadium Allianz musnah apabila diikat Bangkok United 2-2 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

The Sky Blues berharap dapat bangkit selepas diikat 3-3 dengan Western Sydney Wanderers. Bangkok Angels pula mahu melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan.

Patryck Klimala menjadi sandaran gol jurulatih Sydney, Ufuk Talay. Bekas peledak Lion City Sailors FC, Richairo Zivkovic mengetuai jentera serangan Bangkok United.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Bangkok United hampir mencipta gol pendahuluan seawal minit kelima menerusi Muhsen Al-Ghassani. Malangnya, percubaan penyerang Oman itu tersasar.

Enam minit selepas itu, giliran Klimala menguji penjaga gol Bangkok Angels, Patiwat Khammai. Kem Sydney hampa apabila percubaan beliau dinafikan Patiwat.

Ad
Ad

The Sky Blues cuba meningkatkan tekanan menerusi gandingan Klimala, Anthony Caceres, Joe Lolley dan Anas Ouahim.

Ad

Malangnya, barisan pertahanan Bangkok Angels diketuai Everton Goncalves kental menyerap asakan mereka. Ini memastikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, tuan rumah bernasib malang apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Bangkok United.

Penalti tersebut mudah disempurnakan Zivkovic yang menewaskan Harrison Devenish-Meares pada minit ke-50.

Situasi ini mendorong Talay membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Adrian Segecic, Joel King dan bekas bintang Bayern Munich, Douglas Costa.

Kemasukan tiga pemain itu pantas membuahkan hasil buat The Sky Blues. Segecic membalas kepercayaan Talay dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-60.

Pemain sayap muda itu kemudiannya muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Sydney pada minit ke-79.

Cuaca hujan lebat di Stadium Allianz pada 10 minit terakhir permainan sedikit sebanyak merencatkan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Situasi itu tidak menghalang jurulatih Bangkok United, Sripan Totchtawan memanggil Pratama Arhan dan Rungrath Phumichantuk masuk sebagai pemain gantian.

Tatkala tuan rumah menyangka telah meraih kemenangan, Thitipan Puangchan muncul wira dengan meledakkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan bakal berentap di Bangkok pada 19 Februari untuk menentukan pasukan mana layak ke suku akhir.

Sofascore memilih Segecic sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4. Beliau mengatasi Zivkovic dan Thitipan yang meraih markah 7.6.