Advertisement
ACL2: Lion City Sailors Tundukkan Port, Muncul Juara Kumpulan F
ACL
MakanBola
Lion City Sailors FC

Lion City Sailors mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selaku juara Kumpulan F.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan wakil Thailand, Port FC dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Jalan Besar. The Sailors perlu menang jika ingin mengiringi Port ke pusingan seterusnya.

Port Lions yang sudah mengesahkan kemaraan lebih awal memburu kemenangan untuk mara selaku juara Kumpulan F.

Bekas penyerang FC Utrecht, Bart Ramselaar terus menjadi sandaran gol Lion City Sailors. Worachit Kanitsribampen dan Lonsana Doumbouya pula menjadi pilihan Rangsan Viwatchaichok untuk merobek gawang tuan rumah.

Hasrat Port mencuri kelebihan gol awal musnah apabila Song Ui-young meletakkan The Sailors di hadapan seawal minit pertama.

Pemain berusia 31 tahun itu mudah menanduk hantaran Lionel Tan yang menewaskan penjaga gol Port Lions, Chanin Sae-Ear.

Tersentak, Port berusaha mencari gol penyamaan menerusi Worachit, Doumbouya, Felipe Amorim dan kapten, Bordin Phala tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, Ui-young menggandakan kelebihan Lion City Sailors pada minit ke-35. Pemain tengah Singapura itu menyempurnakan hantaran Shawal Anuar yang menewaskan Chanin buat kali kedua.

The Sailors terus memberi tekanan kepada pelawat tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Port Lions terus menggandakan tekanan untuk merapatkan jurang gol terutama menerusi pemain gantian, Teerasak Poeiphimai.

Amorim mencetuskan kebangkitan pelawat dengan meledakkan gol pada minit ke-50. Tonggak import Iraq, Frans Putros menceriakan kem Port dengan meledakkan gol penyamaan dua minit selepas itu.

Pengendali The Sailors, Aleksandar Rankovic segera membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Sergio Carmona menggantikan Christopher van Huizen pada minit ke-57.

Dua gol Port langsung tidak mematahkan semangat tuan rumah. Lion City Sailors kembali di hadapan menerusi hatrik Ui-young pada minit ke-68. Itu gol kelimanya dalam saingan ACL2 musim 2024/25.

Port makin menderita apabila Shawal mencetak nama sebagai penjaring dua minit selepas itu. Selepas berjaya melepasi cabaran Chanin, bekas pemain sayap Hougang United itu mudah menolak bola ke dalam gawang yang kosong.

Penyerang gantian, Lennart Thy mengesahkan kemenangan Lion City Sailors menerusi gol kelima pada minit ke-97. Keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini sudah cukup buat The Sailors muncul juara Kumpulan F sambil diiringi Port Lions ke pusingan 16 terbaik.

Kemenangan ini turut menutup peluang Zhejiang layak ke pusingan 16 terbaik. Ini kerana kelab Chinese Super League (CSL) itu hanya mengutip sembilan mata selepas mengalahkan Persib Bandung.

Hatrik Ui-young diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 9.1, 0.9 mata di hadapan rakan sepasukan, Maxime Lestienne.

Selepas ini, The Sailors mengalihkan fokus untuk saingan Shopee Cup. Anak buah Rankovic bakal berentap dengan juara Piala Malaysia 2021, KL City FC pada 9 Januari 2025.

Port pula berharap dapat menebus kekecewaan apabila bertemu dengan Chiangrai United untuk aksi terbaru Thai League 1 pada 6 Januari 2025.