Perlawanan terakhir peringkat kumpulan H AFC Champions League Two (ACL2) menyaksikan Muangthong United tampil cemerlang menewaskan Jeonbuk Hyundai untuk mara ke pusingan kalah mati.
Muangthong turun dengan misi wajib menang dalam usaha untuk mara ke pusingan kalah mati manakala Jeonbuk pula sekadar menghantar pasukan simpanan terdiri daripada 15 pemain sahaja.
Barisan terbaik menjadi taruhan Muangthong dalam usaha memburu jaringan diketuai Picha Autra manakala Jeonbuk Hyundai menurunkan pemain-pemain muda seperti Gong Si-hyeon.
Permainan jelas didominasi oleh Muangthong yang tampak gigih berusaha merangka serangan ke arah kubu Jeonbuk dengan 9 percubaan dicatatkan oleh anak-anak buah Uthai Boonmoh.
Usaha berterusan Muangthong akhirnya membuahkan hasil apabila penyudah Purachet Thodsanit meletakkan pasukan tuan rumah mendahului ketika permainan menuju rehat.
Separuh masa pertama tamat, Muangthong United 1-0 Jeonbuk Hyundai.
Bersambung babak kedua, Jeonbuk memperoleh peluang terbaik bagi menjaringkan gol penyamaan namun percubaan Koo Ja-ryong berjaya ditepis oleh penjaga gol Muangthong, Kittipong.
Serangan demi serangan dilakukan akan tetapi kedua-dua pasukan tetap buntu untuk mencari jalan bagi menembusi gawang lawan tatkala permainan semakin hampir menuju penamat.
Aksi di Stadium Rajamangala berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Muangthong United.