Advertisement
Jeonbuk Hyundai Hanya Bawa 15 Pemain Bertemu Muangthong United
ACL
MakanBola
Jeonbuk Hyundai Motors FC

Menjelang aksi terakhir kumpulan H AFC Champions League Two (ACL2) bertemu Muangthong United, pasukan Jeonbuk Hyundai hanya membawa 15 orang pemain ke Bangkok.

Jeonbuk Hyundai dan Muangthong United ketika ini berada di posisi terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati apabila menduduki dua tangga teratas bagi kumpulan H.

Walau bagaimanapun, Muangthong akan berdepan misi wajib menang ke atas Jeonbuk memandangkan pencabar terdekat, Selangor pula bakal menentang pasukan tercorot, DH Cebu.

Selaku kelab yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati, Jeonbuk hanya menghantar skuad seramai 15 orang pemain ke Bangkok diketuai oleh Choi Cheol-soon.

“Untuk perlawanan di tempat lawan menentang Muangthong, Jeonbuk Hyundai telah membentuk satu pasukan kecil,” jelas pihak kelab dalam satu kenyataan.

“Bermula dengan Choi Cheol-soon selaku pemain paling senior, skuad seramai 15 orang telah berlepas ke Thailand.”

Keputusan ini diambil oleh Jeonbuk memandangkan skuad bimbingan Kim Do-heon kini sedang berjuang di pusingan playoff bagi mengelakkan penyingkiran ke K-League 2 musim hadapan.

“Alasannya jelas. Mereka perlu bersiap sedia bagi perlawanan kedua playoff promosi/degradasi menentang Seoul E-Land,” kata juara AFC Champions League dua kali itu.

Walaupun skuad yang dibawa ke Thailand ini bukan pemain utama, namun Jeonbuk percaya setiap dari mereka memiliki semangat yang kuat untuk bersaing dan memenangi aksi kali ini.

“Namun, skuad yang dihantar ke Bangkok juga mempunyai semangat yang berbeza, pemain yang kurang mendapat peluang bermain dan dari pasukan B telah menyertai skuad ini.”

“Ini kerana mereka semua mempunyai keinginan yang kuat untuk bermain dan menang,” jelas Jeonbuk.

Perlawananan tumpuan Jeonbuk Hyundai vs Muangthong United dijadualkan berlangsung pada Khamis jam 6 petang di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Manakala satu lagi aksi menarik adalah DH Cebu berdepan Selangor di Manila, juga pada jam 6 petang dengan Gergasi Merah kini terdesak untuk meraih 3 mata untuk ke pusingan kalah mati.