Advertisements
ACL2: RMS Semarakkan Perjuangan Selangor Di Korea
ACL
MakanBola
Selangor FC

Perjuangan Selangor FC untuk mendapatkan mata dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Korea Selatan mendapat suntikan semangat DYTM Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.

Ini selepas baginda dilihat berada di Stadium Piala Dunia Jeonju untuk aksi Kumpulan H antara Merah Kuning dan Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November lalu.

Baginda turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pasukan, Tan Sri Shahril Mokhtar.

Usaha Selangor mendapatkan mata di Jeonju tidak berhasil apabila tewas 1-0 kepada Jeonbuk. Gol Tiago menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Keputusan ini menyaksikan Merah Kuning kini di tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata, dua mata di belakang Jeonbuk.

Pengendali interim Selangor, Abdi Hassan melihat pasukan itu perlu lebih berdisiplin terutama di peringkat Asia jika ingin mendapatkan mata.

“Beraksi di tahap ini, kita perlu fokus 100 peratus. Mereka dapat jaringkan gol dalam situasi set piece. Kita perlu lebih berdisiplin.

“Di separuh masa kedua, kami cuba mengambil lebih banyak risiko, disebabkan itu, kita dapat hasilkan lebih banyak peluang dan cuba merapatkan jurang tetapi ia tidak berlaku,” katanya.

Ramai penyokong teruja melihat kesudian Tengku Amir untuk terbang ke Korea Selatan semata-mata untuk memberi sokongan kepada Selangor.

Bagi seorang penyokong bernama Nani Fiq, sokongan padu baginda dan penyokong terutama di tempat lawan cukup bermakna buat pasukan gergasi Lembah Klang itu.

“RMS pun turun stadium. Mantap, terima kasih juga penyokong Selangor yang datang di tempat lawan. Anda semua memang penyokong tegar,” katanya di ruang komen Facebook Selangor.

Perkara ini turut dipersetujui seorang lagi penyokong bernama Ahamad Rizal. Meskipun tewas, dia mengharapkan penyokong terus mendukung Merah Kuning agar dapat mara ke pusingan seterusnya ACL2.

“Tahniah. Tahniah kepada penyokong SFC yang hadir ke stadium di Korea Selatan. Anda semua terbaik. ,Walaupun tewas bukan bererti perjuangan sudah tertutup. Misi masih belum selesai,” ujarnya.

Fokus Selangor kini beralih kepada aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia yang akan bermula pada 20 November ini.