Ini senarai 9 pasukan yang sudah mengesahkan tiket awal ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE).
Saingan ACLE minggu ke-8 bakal bermula pada lewat malam Isnin dengan pertemuan antara Pakhtakor dan Al Sadd bakal membuka tirai untuk perlawanan terakhir bagi pusingan liga.
Sejumlah 12 perlawanan bakal berlangsung pada minggu ke-8 ini dengan fokus peminat sudah pasti terarah kepada aksi penting yang menjadi penentu tiket ke pusingan kalah mati.
8 pasukan terbaik dalam carta kedudukan zon Barat dan juga Timur akan mara ke peringkat 16 terbaik ACLE dengan ketika ini 9 kelab sudah berjaya mengesahkan tempat terlebih awal.
Kedudukan untuk Al Hilal, Al Ahly, Al Nassr, Al Sadd dan juga Al Wasl dalam kelompok 8 terbaik sudah pun terjamin tatkala 3 lagi tempat bakal menjadi rebutan antara 5 pasukan lain.
Ketika ini, hanya Al Rayyan, Al Gharafa, Esteghlal, Persepolis dan juga Pakhtakor yang miliki peluang besar untuk merebut 3 lagi tempat ke pusingan kalah mati sebagai wakil zon Barat.
Manakala di zon Timur, 3 kelab gergasi Jepun iaitu Yokohama F. Marinos, Vissel Kobe dan Kawasaki Frontale sudah mara ke pusingan kalah mati selain wakil dari Korea Selatan, Gwangju.
4 lagi tempat kini menjadi sasaran 6 kelab iaitu JDT, Buriram, Shandong Taishan, Pohang Steelers, Shanghai Port dan juga Shanghai Shenhua untuk lengkapkan 8 pasukan terbaik zon Timur.
Peminat bola sepak tempatan kini sudah pasti memberikan tumpuan yang penuh buat wakil tunggal negara, JDT yang akan melayani kunjungan Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim.