Advertisements
ACLE: Dijangka 30,000 Penonton Banjiri Aksi JDT vs Ulsan HD Di Stadium Sultan Ibrahim
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Ulsan HD berpotensi menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

Anggaran ini dibuat berdasarkan kehadiran yang direkodkan untuk aksi kedua ACLE membabitkan Harimau Selatan dan naib juara Chinese Super League (CSL) musim 2024, Shanghai Shenhua.

Aksi yang berlangsung pada 1 Oktober itu menyaksikan kehadiran 31,386 orang penyokong. Rekod kehadiran ini merupakan yang tertinggi direkodkan di SSI untuk musim 2024/25.

Rekod ini mengatasi rekod kehadiran 25,112 orang yang dicatat dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Angka ini membantu Harimau Selatan menewaskan Shenhua 3-0 menerusi gol Arif Aiman Hanapi, Jorge Obregon dan Juan Muniz.

Dan bagi bek tengah Indonesia, Jordi Amat, kehadiran ribuan penyokong cukup bermakna buat JDT lebih-lebih lagi untuk aksi ACLE.

“Ya, ia sangat penting. Orang yang tahu betapa pentingnya perlawanan ini ialah para pemain kerana kita dapat rasa sokongan penyokong di belakang kita. Kadang-kadang kita terasa penat, kadang-kadang kita berlawan dengan rakan-rakan sepasukan untuk mendapatkan bola.

“Untuk mendengar (sokongan penyokong) di sekeliling anda, anda rasa mereka seperti melindungi anda. Jadi, ia satu perkara yang amat penting. Ianya rasa seronok melihat stadium penuh (dengan penyokong) dalam perlawanan sebegini.

“Ya, rasa gembira beraksi bersama para penyokong. Kita harap esok kita dapat beri senyuman lebar buat semua orang,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan JDT-Ulsan.

JDT bakal berdepan Ulsan di SSI pada 5 November ini. Pelawat dijangka turun tanpa dua tonggak utama, Lee Myung-jae dan Ko Seung-beom yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.