Hajat Shanghai Shenhua meraih kemenangan kedua Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musnah apabila diikat kelab jagoan A-League, Central Coast Mariners (CCM) 2-2.
CCM mahu memburu kemenangan pertama dalam ACLE selepas tewas tiga kali berturut-turut. Manakala Shenhua pula mahu meneruskan momentum selepas menewaskan Kawasaki Frontale.
Wang Haijian dan Andre Luis menjadi sandaran gol pengendali Shenhua, Leonid Slutskiy. Manakala Ryan Edmondson dan Vitor Feijao menjadi pilihan Mark Jackson di bahagian serangan.
Separuh masa pertama menyaksikan Shenhua terpaksa membuat pertukaran pemain pertama seawal minit kelima perlawanan. Ini selepas Xie Pengfei mengalami kecederaan apabila dikasari kapten CCM, Brian Kaltak.
Pengfei kemudiannya diusung keluar dari padang oleh pasukan perubatan. Susulan itu, Slutskiy memasukkan pemain berpengalaman, Yu Hanchao sebagai pengganti pemain berusia 31 tahun itu.
Gawang Shenhua mula diuji pada minit ke-12 menerusi rembatan deras Mikael Doka. Malangnya, rembatan pemain sayap Brazil itu mudah ditangkap penjaga gol, Bao Yaxiong.
Lapan minit selepas itu, Kaltak hampa apabila tandukannya hanya menggegar palang sebelum bola dikeluarkan oleh pertahanan pelawat.
CCM terus berusaha menggegar jaring Shenhua tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Slutskiy melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Yang Zexiang sebagai pengganti Wilson Manafa.
Tatkala tuan rumah terus memberi tekanan kepada Shenhua, naib juara Chinese Super League (CSL) 2024 itu membuka tirai jaringan menerusi Luis pada minit ke-50.
Selepas menerima hantaran Hanchao, penyerang berusia 30 tahun itu melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Dylan Peraic-Cullen.
Tersentak, Jackson melakukan dua pertukaran dengan memilih Alou Kuol dan Bailey Brandtman sebagai pengganti Feijao dan Edmondson.
Malangnya, pertukaran tersebut gagal mengubah momentum perlawanan kembali memihak kepada CCM. Sebaliknya, giliran Shenhua menggandakan jaringan menerusi rembatan lencong Hanchao pada minit ke-64.
Tatkala Shenhua makin ghairah memburu gol ketiga perlawanan, pemain gantian tuan rumah, Sabit Ngor merapatkan jurang pada minit ke-75.
Brandtman memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata menerusi tandukan pada minit akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Shenhua menduduk tangga keempat Liga Timur ACLE.
Manakala CCM pula kekal di tangga ke-11. Walau bagaimanapun, kedudukan Liga Timur ACLE dijangka berubah dengan beberapa aksi bakal berlangsung pada 5 dan 6 November ini.
Impak Doka dalam perlawanan ini diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.8, 0.3 mata di hadapan Hanchao.
CCM berharap dapat mengakhiri kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan bila berdepan Wellington Phoenix pada 10 November. Sementara Shenhua pula mengatur persediaan untuk aksi ACLE menentang Gwangju pada 27 November.