Advertisements
ACLE: Gwangju Teraju Carta, JDT Kini Di Tangga Kelima
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Selepas tiga perlawanan Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Gwangju FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) kini menghuni kedudukan berbeza.

Gwangju terus kekal menerajui Liga Timur ACLE dengan sembilan mata. Ini selepas pasukan itu menewaskan JDT 3-1 di Stadium Yongin Mireu.

Dua gol Jasir Asani dan gol sendiri Park Jun-heong memastikan kemenangan miliki anak buah Lee Jung-hyo itu. Manakala Feroz Baharudin menjaringkan gol saguhati buat Harimau Selatan.

Ini menjadikan Gwangju bukan saja satu-satunya dalam Liga Timur ACLE yang memiliki rekod kemennagan 100%. Malah, mereka juga menjadi antara tiga pasukan yang masih belum tewas.

Selain Gwangju, Buriram United dan Vissel Kobe juga masih kebal setakat ini. Kobe dan Buriram menghuni kedudukan kedua dan ketiga Liga Timur ACLE selepas mencipta kemenangan dalam aksi masing-masing.

Kobe kembali ke Jepun dengan tiga mata selepas menewaskan Ulsan HD 2-0. Manakala Pohang Steelers menjadi mangsa kejutan Thunder Castle di Stadium Buriram.

Meskipun tewas, kedudukan JDT masih baik di mana pasukan itu berada di kedudukan kelima. Mereka mengatasi tiga lagi pasukan termasuk wakil China, Shandong Taishan.

Kelebihan jaringan membolehkan Harimau Selatan dan Shandong berada di hadapan Yokohama F. Marinos dan Shanghai Port meskipun berkongsi empat mata.

Sementara juara K-League 1 musim 2023, Ulsan HD pula kini berada di kedudukan tercorot Liga Timur ACLE tanpa sebarang mata. Ini selepas pasukan itu tewas lagi buat kali ketiga, kali ini dengan Ushi.

Situasi ini juga menyebabkan pengendali Ulsan, Kim Pan-gon merasa kecewa dengan apa yang berlaku.

“Saya minta maaf kepada penyokong atas keputusan ini. Saya malu,rasa tidak layak dan tiada apa mahu dikatakan. Saya akan menilai semula dan bangkit daripada kekecewaan ini.

“Saya berusaha untuk memberikan kebahagiaan kepada anda semua secepat mungkin. Saya berasa malu. Sekiranya pasukan ini tersingkir awal, saya tidak tahu mahu berkata apa,” katanya.

Ulsan bakal berdepan cabaran lebih sukar kerana lawan mereka selepas ini ialah Harimau Selatan. JDT bakal berentap dengan The Tigers di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5 November.

Kedudukan pendahulu Liga Timur ACLE juga bakal berubah apabila Gwangju dan Kobe bakal berentap pada 5 November.