Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu membuang badi di tempat lawan sekiranya mahu mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/25.
Ini kerana JDT gagal merekodkan kemenangan dalam tiga aksi di tempat lawan daripada enam perlawanan ACLE yang diharungi mereka setakat ini.
Selepas merekodkan keputusan seri 2-2 dengan juara Chinese Super League (CSL), Shanghai Port, Harimau Selatan tewas dalam dua lagi aksi.
Kelab Korea Selatan, Gwangju FC merekodkan kemenangan 3-1 ke atas JDT pada 22 Oktober 2024. Ini disusuli kemenangan tipis 1-0 Shandong Taishan ke atas juara Liga Super musim 2023 pada 26 November 2024.
Kali terakhir JDT meraih kemenangan di tempat lawan dalam saingan ACL pada 3 Oktober 2023. JDT meraih kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum United di Bangkok, Thailand.
Harimau Selatan berharap kehadiran tiga tonggak import baru dari Sepanyol dapat membantu mereka meraih kemenangan yang diperlukan.
JDT diperkuat tiga tonggak berpengalaman yang pernah beraksi di La Liga iaitu Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez dan Roque Mesa.
Viera dan Gonzalez juga memiliki pengalaman beraksi di Asia kerana masing-masing pernah beraksi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Arab Saudi.
JDT bakal berdepan cabaran juara A-League, Central Coast Mariners di Stadium Central Coast, Gosport pada 11 Februari.