Advertisements
ACLE: JDT Tinggalkan Ulsan HD 1-0 Babak Pertama
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kelebihan 1-0 ke atas Ulsan HD dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ulsan berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam ACLE selepas tewas tiga aksi sebelumnya. Manakala Harimau Selatan mahu melebarkan rekod buruk pasukan Korea Selatan itu di SSI kepada empat perlawanan.

Jorge Obregon dan Arif Aiman Hanapi terus menjadi sandaran gol JDT. Manakala penyerang berbisa Ulsan, Joo Min-kyu terus menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk mengetuai jentera serangan.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha memberi tekanan ke arah kubu pertahanan The Tigers diketuai bek tengah Korea Selatan, Kim Young-gwon.

Kebimbangan Pan-gon tentang Arif menjadi ancaman utama pelawat menjadi kenyataan apabila pemain sayap Harimau Malaya itu meledakkan jaringan pembukaan pada minit kelapan.

Arif berjaya melepasi cabaran Young-gwon sebelum melakukan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Ulsan, Joo Hyeon-woo.

Tersentak, The Tigers berusaha mencari gol penyamaan dengan menekan kubu pertahanan tuan rumah tetapi tidak berhasil. Situasi ini tidak dibantu apabila tonggak import Ulsan dari Brazil, Matheus Sales mengalami kecederaan.

Keadaan ini mendorong Pan-gon memasukkan bekas pemain sayap Bolton Wanderers, Lee Chung-yong sebagai pengganti Sales pada minit ke-22.

Perlawanan mula panas dengan kedua-dua pasukan melakukan cabaran fizikal dalam mendapatkan bola. Situasi ini menyebabkan pengadil perlawanan berusaha mengawal disiplin kedua-dua pasukan.

Melihat Young-gwon terus bergelut dengan ancaman Obregon dan Arif, Pan-gon memasukkan bek tengah berusia 35 tahun, Hwang Seok-ho sebagai pengganti.

JDT terus mengasak untuk mencari gol kedua tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.