Krisis kecederaan menghantui persiapan jaguh Korea, Ulsan HD berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perlawanan keempat aksi AFC Champions League Elite (ACLE) menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon teruja untuk hadir beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Juara bertahan K-League 1 itu meraih kejuaraan hatrik liga sekaligus memberikan momentum terbaik buat pasukan untuk melakar kemenangan pertama di Asia musim ini.
“Bagi kami, kami tidak mengharungi tiga aksi yang kurang baik. Ini menjadi motivasi terbaik untuk terus bersaing dan memberikan yang terbaik di atas padang.
“JDT sudah beraksi dengan baik dalam tiga aksi sebelum in. Kita akan cuba turun untuk memberikan yang terbaik dan tidak boleh menoleh ke belakang lagi,” katanya kepada sesi sidang media pra-perlawanan.
Pan-gon bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau berkemungkinan kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.
“Kami ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan. Ulsan HD tidak dapat membawa beberapa pemain utama ke sini dan saya agak kecewa dengan keputusan itu,” katanya.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan bahawa Ulsan HD berisiko turun tanpa beberapa pemain utama.
“Sesi latihan rasmi Ulsan HD, juara K-League 2024 dijangka beraksi tanpa pertahanan kiri skuad kebangsaan Korea Selatan Lee Myeong-Jae termasuk pemain tengah Ko Seung-Beom,” ujar Zulhemi di laman X.
Aksi antara JDT menentang Ulsan HD dijadualkan berlangsung pada 5 November jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim.