Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai antara pasukan hebat di Asia hasil sentuhan DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pandangan itu dilontarkan jurulatih Korea Selatan berusia 55 tahun itu dalam sidang media pra-perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara JDT dan kelabnya, Ulsan HD.
Pan-gon menyifatkan kejayaan yang dikecapi JDT pada hari ini tidak akan berlaku tanpa cetusan inspirasi pemilik pasukan, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
“Amat teruja untuk perlawanan esok menentang JDT. Pasukan ini merupakan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada TMJ (Tunku Ismail) kerana membina pasukan (yang hebat) ini. Saya boleh lihat pasukan ini mampu bersaing dalam saingan ACLE.
“Jadi, harapnya mereka mendapat satu pengembaraan yang baik untuk mendapatkan keputusan yang bagus dalam pertandingan ini,” katanya.
Sejak diambil alih pada 2013, Harimau Selatan telah melakar banyak pencapaian baik di peringkat domestik mahupun Asia. JDT bukan saja muncul juara Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut.
Malah, pasukan itu turut meraih empat gelaran juara di peringkat domestik termasuk Liga Super pada 2022 dan 2023. Sementara di peringkat Asia pula, JDT menjadi wakil Malaysia pertama bergelar juara Piala AFC pada 2015.
Harimau Selatan turut mewarnai saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan pencapaian terbaik mereka ialah pusingan 16 pasukan terbaik pada musim 2022.
Kejayaan yang dilakar Harimau Selatan turut disokong dengan kehadiran pemain import berkaliber seperti Leandro Velasquez, Luciano Figueroa, Fernando Forestieri, Juan Muniz, Hariss Harun dan Diogo Luis Santo.
Pandangan Pan-gon turut dikongsi bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar. Hairuddin yang kini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih Terengganu FC menyifatkan DYAM Tunku Ismail sebagai figura paling berpengaruh dalam bola sepak negara.
Ini kerana usaha dan input baginda kepada Harimau Selatan menjadikan pasukan tersebut pasukan paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Dalam landskap bola sepak negara ini, tiada orang lebih layak berdasarkan apa yang telah ditonjolkan oleh Tunku Ismail ketika membimbing JDT sehingga berjaya menjadi sebuah kelab yang digeruni,” katanya.
JDT bersiap sedia menentang Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5 November ini.