Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengetahui pasukan lawan yang bakal dihadapi di suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) malam ini.
Saingan ACLE kembali minggu ini dengan 8 kelab dari Zon Barat bakal membuat perhitungan dalam aksi pusingan 16 setelah perubahan jadual dibuat akibat pergolakan di Timur Tengah baru-baru ini.
4 pemenang dalam perlawanan satu pusingan ini bakal bertemu pasukan-pasukan dari Zon Timur yang terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir termasuklah wakil negara, JDT.
JDT yang cemerlang menyingkirkan Sanfrecce Hiroshima telah diundi menentang pemenang antara kelab Qatar, Al-Duhail atau pun juara bertahan, Al-Ahli dari Arab Saudi di pusingan suku akhir nanti.
Oleh itu, pertembungan antara Al-Ahli vs Al-Duhail pada Isnin bakal menjadi tumpuan, bukan sahaja peminat dari kedua-dua pasukan ini, malah penyokong JDT itu sendiri.
Di atas kertas, Al-Ahli dilihat sebagai pasukan pilihan untuk muncul pemenang pada aksi ini berbekalkan status selaku juara bertahan ACLE selain miliki kelebihan beraksi di negara sendiri.
Rekod pertemuan antara kedua-dua kelab dari Timur Tengah ini tampak seimbang dengan Al-Ahli serta Al-Duhail masing-masing meraih satu kemenangan selain dua kali seri sebelum ini.
Perlawanan Al-Ahli vs Al-Duhail akan diadakan pada Isnin, 13 April dengan sepak mula aksi dijadualkan jam 10.30 malam di Stadium Alinma, dengan pemenang bakal menentang JDT di suku akhir.