Advertisement
ACLE: Pohang Steelers Ubah Nasib, Bedil Shandong Taishan
ACL
MakanBola
Pohang Steelers FC

Saingan AFC Champions League Elite (ACLE) menyaksikan Pohang Steelers kembali menemui jalan kemenangan setelah menumbangkan Shangdong Taishan.

Setelah tewas dua kali dalam aksi terdahulu, Pohang Steelers kembali ke laman sendiri bagi melayani kunjungan Shandong Taishan yang terikat seri 2-2 dalam perlawanan terdahulu.

Pohang Steelers menampilkan bekas pemain Wolfsburg, Hong Yun-sang dan Jorge Teixeira di bahagian serangan manakala Shandong Taishan diketuai tonggak China, Wang Dalei.

Setelah 30 minit aksi berlangsung, gol yang dicari akhirnya tiba menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Jeong Jae-hee untuk meletakkan Pohang di hadapan mengatasi lawan.

Kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Shandong segera membalas dengan jaringan penyamaan tiga minit kemudian menerusi Chen Pu berpunca dari sepakan sudut.

Separuh masa pertama tamat, Pohang Steelers 1-1 Shandong Taishan.

Kembali dari rehat, Pohang mula meningkatkan intensiti permainan dan berjaya mencetak gol kedua pada minit ke-64 hasil rembatan jarak jauh oleh penyerang Jorge Teixeira.

Empat minit berselang, giliran kapten Pohang, Wanderson pula melebarkan kedudukan dengan jaringan ketiga setelah menyambar hantaran lintang Jorge Teixeira dari jarak dekat.

Gawang Shandong terus dibolosi buat kali keempat di minit ke-76 menerusi Oberdan Alionco yang melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti menewaskan Wang Dalei.

Bi Jinhao berjaya merapatkan jurang dengan jaringan kedua buat pasukan pelawat namun gol tersebut tidak cukup bagi menghalang Pohang meraih 3 mata dalam aksi keempat ini.

Aksi di Pohang Steelyard berakhir dengan keputusan 4-2 memihak Pohang Steelers.

Selepas ini, Pohang Steelers akan berdepan ujian getir dari jaguh Jepun, Yokohama F Marinos sementara itu Shandong Taishan bakal menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT).