Dua kelab Korea Selatan, Ulsan HD dan Gwangju FC mengalami nasib sama dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini selepas kedua-dua pasukan itu tewas kepada lawan masing-masing. Rekod buruk Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) berterusan apabila tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Gol Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas dan Bergson da Silva memastikan The Tigers tewas buat kali keempat berturut-turut di pentas ACLE. Lebih malang, ini kali keempat Ulsan gagal menjaringkan gol di pentas Asia.
Sementara Gwangju pula tewas 2-0 kepada Vissel Kobe dalam aksi yang berlangsung di Stadium Noevir Kobe. Taisei Miyashiro dan Daiju Sasaki memastikan juara J1 League musim 2023 itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut di pentas ACLE.
Menariknya, Gwangju dan Ulsan berkongsi nasib sama di mana mereka tewas kepada kelab Jepun di pentas Asia. Anak buah Lee Jung-hyo itu menjadi mangsa terbaru Kobe.
Sementara Ulsan yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pula tumbang di tangan tiga wakil Jepun. Tiga pasukan itu ialah Kawasaki Frontale, Yokohama F. Marinos dan Kobe.
Meskipun tewas dalam aksi terakhir mereka, kedudukan Gwangju di kelompok dua teratas Liga Timur ACLE masih lagi belum tergugat. Ini kerana pasukan itu meraih tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Manakala Ulsan terus berada di kedudukan tercorot Liga Timur ACLE. Dengan empat perlawanan yang masih berbaki, The Tigers perlu bangkit jika ingin menduduki kelompok lapan pasukan terbaik dan layak ke pusingan seterusnya.
Kedua-dua pasukan berharap dapat bangkit dalam aksi K-League 1 seterusnya pada 10 November ini. Ulsan bakal menentang FC Seoul dengan Gwangju pula berdepan Jeju United.