Hasrat Vissel Kobe untuk merampas takhta pendahulu Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musnah apabila pasukan itu tewas kepada Pohang Steelers.
Pohang semakin bersemangat selepas berjaya mempertahankan gelaran juara Korean FA Cup. Kobe pula memburu kemenangan sebagai perangsang buat mereka mempertahankan kejuaraan J1 League pada 8 Disember.
Baek Sung-dong dan Jorge Teixeira terus menjadi sandaran gol Pohang. Daiju Sasaki pula dipilih jurulatih Kobe, Takayuki Yoshida untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal di Pohang Steel Yard, Pohang.
Pohang yang dibimbing Park Tae-ha membuka tirai jaringan menerusi kapten, Han Chan-hee pada minit ke-13.
Tujuh minit kemudian, giliran Kim In-sung pula mencipta nama sebagai penjaring. Ini gol ketujuh pemain berusia 35 tahun itu untuk Pohang musim ini.
Kobe mendapat talian hayat pada minit ke-33 apabila pengadil Australia, Alireza Faghani menganugerahkan sepakan penalti. Ini selepas Faghani mengesan kekasaran yang dilakukan Lee Tae-seok ke atas Rikuto Hirose.
Sasaki tenang menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Pohang, Yun Pyeong-guk. Kobe terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Tae-ha melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Wanderson menggantikan Tae-seok.
Kobe semakin pantas menggerakkan bola terutama bila menyerang. Situasi ini mendorong Tae-ha memasukkan dua lagi pemain gantian, Jeong Jae-hee dan Kang Hyeon-je pada minit ke-58.
Kesukaran Kobe menembusi pertahanan Pohang mendorong Yoshida membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Ryota Morioka, Niina Tominaga dan penjaring terbanyak mereka dalam ACLE, Taisei Miyashiro.
Pemain gantian, Ryo Hatsuse hampir menyamakan kedudukan buat juara J1 League 2023 itu. Malangnya, rembatan deras pemain sayap berusia 27 tahun itu dinafikan Pyeong-guk.
Kobe terus memberi tekanan kepada Pohang tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, Jae-hee memastikan Pohang menghadiahkan kekalahan pertama Kobe dalam saingan ACLE musim 2024/25.
Keputusan ini menyaksikan kelab Jepun itu kekal di tempat kedua di belakang Yokohama F. Marinos. Pohang pula memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menduduki tempat kelima Liga Timur ACLE.
Kedudukan ini dijangka berubah apabila JDT berdepan kelab gergasi Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Sofascore memilih Takuya Iwanami, Sasaki dan Chan-hee sebagai pemain terbaik perlawanan. Ketiga-tiga pemain ini mendapat markah 7.8.
Pohang kini fokus kepada persiapan K-League 1 musim 2025 memandangkan ini aksi terakhir mereka untuk tahun 2024. Aksi ACLE mereka yang seterusnya ialah menentang Kawasaki Frontale pada 11 Februari 2025.
Kobe pula berharap dapat mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi pada musim 2023. Pasukan yang diberi jolokan Ushi itu bakal berdepan Shonan Bellmare untuk aksi terakhir J1 League pada 8 Disember.