Advertisement
ACLE: Yokohama F. Marinos Jadikan Central Coast Mangsa Belasahan
ACL
MakanBola
Yokohama F. Marinos

Yokohama F. Marinos merampas takhta pendahulu Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan membelasah Central Coast Mariners (CCM) di Gosport.

Marinos memerlukan kemenangan jika mahu merampas takhta pendahulu daripada kelab senegara, Vissel Kobe. CCM pula perlu segera mendapatkan kemenangan untuk menghidupkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Liga Timur ACLE.

Alou Kuol dan Ryan Edmondson menjadi pilihan Mark Jackson untuk merobek gawang pelawat. Pengendali Marinos, John Hutchinson memilih kapten, Anderson Lopes sebagai sandaran gol mereka.

Separuh masa pertama menyaksikan pelawat tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Kenta Inoue pada minit keenam. Bekas pemain Oita Trinita itu mudah menyempurnakan hantaran Lopes untuk meletakkan Marinos di hadapan.

Tersentak, CCM berusaha memberi tekanan ke arah kubu pertahanan pelawat menerusi Kuol dan Edmondson tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, Inoue menggandakan kelebihan Marinos pada minit ke-30.

Enam minit kemudian, giliran Lopes pula mencetak nama sebagai penjaring. Penyerang Brazil itu berkongsi tempat kedua dengan Matias Vargas dalam carta penjaring terbanyak ACLE.

Jackson kemudiannya terpaksa mengeluarkan Edmondson kerana masalah kecederaan. Beliau memasukkan Bailey Brandtman sebagai pengganti di bahagian serangan.

Marinos terus berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Jackson memasukkan dua lagi pemain gantian iaitu Haine Eames dan Christian Theoharous.

Hutchinson pula memilih memasukkan bekas pemain Arsenal, Ryo Miyachi dan Jun Amano sebagai pengganti Inoue dan Riku Yamane.

Amano tidak menunggu lama untuk mencipta impak positif dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-70. Sepakan percumanya dari jarak 30 meter terus menerjah penjuru atas gawang.

Marinos terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kelab Jepun itu merasai nikmat pendahulu Liga Timur ACLE.

Walau bagaimanapun, kedudukan pendahulu dijangka berubah sekiranya Kobe dan Gwangju FC meraih kemenangan dalam perlawanan masing-masing. CCM pula terus berada di tangga ke-11 selepas hanya mengutip satu mata daripada enam perlawanan.

Sofascore memilih Inoue sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menyumbang dua gol untuk Marinos. Beliau meraih 8.8 mata, 0.8 mata di hadapan Lopes.

Selepas ini, Marinos bakal berdepan Nagoya Grampus untuk aksi terakhir J1 League pada 8 Disember. CCM pula akan turun menentang Sydney FC untuk saingan A-League pada hari yang sama.