“Ada Protes Dari Vietnam” – AFC
MakanBola
Malaysia NT

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa terdapat aduan daripada pihak Vietnam berhubung kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Skuad kendalian Peter Cklamovski menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata. tiga mata meninggalkan Vietnam di tangga kedua.

Menurut penjelasan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, beliau mengesahkan berkenaan kronologi bermulanya penyiasan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya. 

“Kita (AFC) dimaklumkan daripada FIFA sebab pertandingan itu adalah pertandingan AFC, Kelayakan Piala Asia 2027. 

“Jadi kita dapat maklumat bahawa FIFA sedang meneliti ketujuh-tujuh pemain selepas sahaja perlawanan antara Malaysia menentang Vietnam.

Beliau turut mengesahkan bahawa siasatan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) berlaku disebabkan oleh pihak dari Vietnam yang membuat aduan.

“Sebab ada protes daripada Vietnam. Itu pertama kali kita mendapat berita secara langsung daripada FIFA. Selepas itu, kita menunggu penyiasatan yang dilakukan oleh FIFA. Biasanya penyiasatan itu di antara FAM dan FIFA.

“Selepas itu, kita mendapat berita tentang hukuman yang pertama dijatuhkan kepada FAM berhubung dengan penggunaan tujuh pemain yang dikira tidak layak ataupun tidak sah. Jadi, kita sudah di maklumkan selepas aksi antara Malaysia dan Vietnam,” katanya pada segmen Sebelas Utama di Astro Arena.

Perkembangan terbaru kes tujuh pemain warisan adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport – CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat pada 26 Februari 2026,” ujar kenyataan FAM.