Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang masih membuka pintu untuk meneruskan perjuangan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun beliau menegaskan keputusan itu kini bergantung kepada satu persoalan utama iaitu sama ada khidmatnya masih diperlukan atau tidak.
Azizulhasni berkata, beliau sebenarnya sudah bersedia untuk menggantung basikal selepas kejayaan meraih pingat emas acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun kesediaannya untuk berkorban demi negara boleh mengubah keputusan tersebut.
Menurutnya, beliau memerlukan jawapan rasmi dan konkrit daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan segala perancangan menuju LA28 dibuat dengan lebih teratur.
“Bagi saya, situasi sekarang sebenarnya bukan soal saya ingin meneruskan kayuhan ke LA28 ataupun tidak, akan tetapi situasi sekarang adalah sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya ataupun tidak untuk ke LA28,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan pada Jumaat.
Azizulhasni menjelaskan keputusan itu perlu dibuat segera kerana perjalanan kelayakan ke LA28 akan berlangsung sepanjang dua musim dan memerlukan penyertaan dalam beberapa kejohanan penting termasuk Kejohanan Dunia, Kejohanan Benua serta Piala Dunia.
Lebih penting, beliau berkata Kejohanan Dunia di Shanghai selepas Sukan Asia Nagoya menjadi antara platform paling penting untuk mengutip mata kelayakan kerana kejohanan berkenaan menawarkan mata yang tinggi, sekali gus memerlukan perancangan perjalanan lebih awal.
Katanya, jika khidmatnya tidak lagi diperlukan, beliau bersedia untuk kembali kepada keluarga dan menamatkan kariernya selepas merasakan pencapaian di Glasgow sudah melengkapkan koleksi pingat emasnya di temasya besar, selain Olimpik.
Namun, semangat patriotik yang tinggi selepas 22 tahun mewakili Malaysia membuatkan beliau masih sanggup mempertimbangkan untuk meneruskan misi tersebut sekiranya negara benar-benar memerlukan khidmatnya.
“Semenjak menjejakkan kaki ke program kebangsaan, kini saya sudah mewakili Malaysia selama 22 tahun dan saya tidak pernah berasa jemu dan sentiasa memberikan 110 peratus apabila berjuang untuk negara,” katanya.
Pada masa sama, Azizulhasni menegaskan beliau tidak meletakkan tuntutan kewangan sebagai keutamaan sekiranya diberi kepercayaan untuk meneruskan misi ke LA28, malah bersedia bergerak secara profesional dengan kebergantungan minimum kepada dana kerajaan.
Beliau berkata perkara paling penting baginya ialah sistem sokongan ketika latihan dan pertandingan, termasuk aspek pemulihan yang dianggap semakin penting pada usia beliau ketika ini.
Azizulhasni turut menjelaskan bahawa prestasinya pada musim ini menunjukkan beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi apabila kini berada di ranking ke-14 dunia selepas kembali daripada persaraan, selain meraih dua pingat gangsa acara sprint di Piala Dunia Perth dan Nilai.
Beliau juga pernah menewaskan beberapa pelumba ternama dunia musim ini termasuk Matthew Richardson, Harrie Lavreysen, Leigh Hoffman dan Nicholas Paul, sekali gus percaya sasaran untuk memperbaiki kedudukan ranking bagi memburu tiket LA28 bukan sesuatu yang mustahil.
Dalam masa sama, Azizulhasni mahu segala perancangan berkaitan penglibatannya dibuat secara telus dan mempunyai perjanjian yang jelas, khususnya berhubung mata kelayakan yang dikumpulkan sekiranya beliau membantu pasukan negara dalam kempen tersebut.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan keputusan KBS dan MSN yang menurutnya sudah berlarutan selama 66 hari sejak perbincangan awal pada 23 Jun lalu, sedangkan beliau perlu membuat perancangan bersama keluarga dan penaja.
Azizulhasni menegaskan beliau tidak mahu dirinya hanya digunakan untuk mengumpul mata kelayakan buat pasukan kebangsaan sebelum berdepan ketidakpastian pada penghujung proses kelayakan.
Justeru, beliau sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa masa depannya ke LA28 bukan sekadar keputusan peribadi, sebaliknya bergantung kepada keperluan negara terhadap khidmatnya.
“Saya menunggu jawapan terbuka rasmi daripada pihak KBS dan MSN,” katanya.