Pemain pertahanan Penang FC, Adib Raop tidak gentar dengan cabaran pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC menjelang aksi terbaru Liga Super.
Musim 2024/25 menyaksikan Penang merekodkan prestasi baik dalam liga dengan hanya merekodkan satu kekalahan dalam lima perlawanan liga.
Selain merekodkan kemenangan pertama ke atas Perak FC pada 13 Julai lalu, Harimau Kumbang juga tidak dibolosi dalam tiga perlawanan liga.
Atas sebab itu, Adib merasa tidak gentar apabila Penang berdepan Merah Kuning di Stadium MBPJ pada 27 Julai ini. Ini kerana prestasi semasa dilihat memihak kepada Harimau Kumbang.
Pada masa sama, pemain pertahanan berusia 24 tahun itu enggan memandang rendah cabaran Selangor. Meskipun bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini, Merah Kuning dibarisi ramai pemain berkualiti termasuk yang berstatus pemain kebangsaan.
“Bagi saya, setiap pasukan nakkan kemenangan. Tapi kami perlu berhati-hati dengan Selangor sebab mereka (ada) ramai pemain kebangsaan dan pemain import yang bagus.
“Jadi, saya harap pemain-pemain dapat memberikan fokus, dapat memberi kesefahaman dan buat yang terbaiklah di (Stadium) MBPJ nanti,” katanya kepada MakanBola.
Musim 2024/25 menyaksikan Adib menjadi pilihan jurulatih Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli di posisi bek kiri. Persembahan cemerlangnya di posisi berkenaan turut menarik perhatian bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Pan-gon memberi peluang kepada Adib untuk merekodkan dua penampilan antarabangsa dan satu gol bersama Harimau Malaya pada Jun lalu.