Adidas Malaysia telah memuat naik rekaan jersi baharu Selangor FC.
Gergasi Merah Kuning kini secara rasminya memetrai perjanjian penajaan pakaian bersama syarikat terkemuka dunia, Adidas.
Para peminat setia kini hangat menantikan rekaan jersi baharu kelab Lembah Klang itu yang bakal meneruskan cabaran bagi musim 2026-2027 di Liga Super Malaysia.
Menerusi kemas kini oleh laman Adidas Malaysia, jersi tuan rumah (home) Selangor FC bakal tampil dengan warna ikonik dua tona merah dengan jalur tiga garis berwarna kuning yang menjadi tanda dagangan bagi Adidas.
Bahagian kolar jersi juga berwarna kuning dengan paparan dua penaja utama iaitu PKNS serta MBI Incorporated pada bahagian hadapan jersi digayakan dengan warna kuning identiti pasukan.

Pasukan bimbingan Kim Pan-gon bakal mengikut jejak langkah Sabah FC yang turut menggayakan jersi dari Adidas bagi kempen musim 2025-2026.
Selangor bakal membuka tirai saingan musim baharu di gelanggang lawan menentang Kelantan Red Warrior pada Sabtu, 22 Ogos 2026 jam 9.00 malam.
Majlis pelancaran jersi baharu Selangor dijadual berlangsung pada Khamis, 20 Ogos 2026 di sebuah pusat beli belah terkemuka.