Bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim percaya skuad negara tidak boleh leka terutama dalam situasi menekan lawan.
Aspek tekanan ke atas pihak lawan menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak susulan kejayaan Jordan mengalahkan Malaysia 4-0 dan mengikat Korea Selatan 2-2 semalam.
Bagi Teong Kim, aspek tekanan amat penting dalam permainan bola sepak moden hari ini. Ini kerana apabila tekanan diaplikasikan, ini menuntut pemain bukan saja pantas dan fokus dengan pergerakan lawan di atas padang.
Malah, ini memerlukan kerjasama semua pemain untuk memastikan pihak lawan tidak boleh menembusi pertahanan sesebuah pasukan.
Aspek ini amat penting menurut Teong Kim lebih-lebih lagi dengan mengambil kira status negara sebagai pasukan kecil dalam saingan Piala Asia 2023.
Jika aspek ini diberi penekanan dan semua pemain memberi kerjasama yang baik, beliau percaya ini dapat membantu skuad negara melakar keputusan yang lebih baik untuk aksi ketiga kumpulan.
“Itu yang mereka buat. Macam pasukan hari ini (Jordan) lawan Korea Selatan atau pun perlawanan lalu lawan Malaysia, serupa mereka buat.
“Mereka buat orang pertama untuk memberi tekanan. Mereka menutup permainan (lawan) dengan pantas. Ini bermaksud kepantasan pemain paling penting, tak boleh tidur (dan) mesti sentiasa waspada.
“Kita bukan pasukan yang besar, kita pasukan yang kecil. Jadi pasukan kecil, (pemain) kena berlari bersungguh-sungguh (dan) membantu kawan-kawan. Baru kita mendapat kejayaan.
“Kalau kita main setakat (sambil lewa), susah,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Malaysia-Bahrain di Astro Arena semalam.
Malaysia bakal menutup kempen Kumpulan E dengan turun menentang Korea Selatan pada 25 Januari di Stadium Al Janoub.