Hasrat Vietnam untuk melakar kejutan dalam aksi pertama kumpulan D tidak kesampaian apabila mereka tewas bermaruah kepada gergasi bola sepak Asia iaitu Jepun di Stadium Al Thumama.
Jepun yang tidak menurunkan beberapa pemain bintang seperti Kaoru Mitoma dan Takefusa Kubo dilihat memualakan perlawanan dengan penguasaan penuh perlawanan.
Vietnam yang lebih banyak berkumpul di kawasan sendiri memfokuskan kepada bertahan dan menanti waktu terbaik untuk serangan balas.
Hasil serangan yang berterusan, Jepun akhirnya berjaya di hadapan seawal minit ke-11 melalui Takumi Minamino yang menyempurnakan peluang terhidang di kotak penalti.
Kedudukan 1-0 itu tidak bertahan lama apabila Vietnam secara tiba-tiba berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 hasil jaringan Nguyen Dinh Bac yang menanduk kemas sepakan sudut. Kedudukan terikat 1-1.
Tersentak dengan jaringan penyamaan Vietnam, Jepun meneruskan penguasaan bola dan melancarkan serangan untuk mendapatkan gol kedua mereka.
Ketika Jepun sibuk mengatur langkah serangan, Vietnam sekali lagi mengejutkan Jepun melalui gol kedua mereka. Kali ini gol Vietnam dijaringkan oleh Pham Tuan Hai yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki selepas gagal menangkap kemas percubaan awal dari pemain Vietnam.
Ketinggalan satu gol, Jepun menambahkan intensiti untuk mencari gol. Usaha mereka nyata berhasil, selepas mereka berjaya meledak dua gol sebelum separuh masa pertama tamat melalui penyudah Minamino dan Keito Nakamura sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 3-2 memihak Jepun.
Bersambung babak kedua, Jepun membawa masuk beberapa pemain bintang mereka seperti Ayase Ueda dan Ritsu Doan yang dimasukkan sedikit lewat.
Jepun meneruskan asakan ke kubu Vietnam untuk menambah jaringan bagi kedudukan yang lebih selesa sebelum wisel penamat.
Ayase Ueda yang dimasukkan sebagai pemain gantian akhirnya berjaya meledak pada minit ke-85 hasil penyudah mudah selepas mendapat umpanan kemas daripada Takefusa Kubo.
Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan tiga mata pertama buat Jepun dalam kempen Piala Asia kali ini.
Jepun akan bertemu Iraq pada aksi kedua pada 19 Januari manakala Vietnam akan terus memburu mata mereka di Piala Asia apabila bakal berdepan Indonesia pada hari yang sama.