Aksi Piala AFC saingan Kumpulan G hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan dari Indonesia, Bali United dan wakil Filipina, Stallion Laguna.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten Wayan Dipta memihak kepada pasukan tuan rumah apabila Bali United mencatat kemenangan 5-2.
Babak separuh masa pertama berakhir dengan pasukan tuan rumah mendahului 2-0 dihadapan menerusi ledakan Made Andhika dan Mohammed Rashid.
Menjelang aksi di babak kedua, pertahanan Bali United, Elias Dolah mencatat nama sebagai penjaring sebelum Eber Bessa melebarkan kedudukan untuk jaringan keempat Bali United.
Stallion Laguna akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-69 permainan apabila hantaran Jorrel Aristorenas disudahkan Jayvee Kallukaran untuk gol pertama Stallion Laguna sebelum Griffin McDaniel menyumbat masuk bola untuk jaringan kedua Stallion.
Import dari Brazil, Jefferson De Assis menutup tirai jaringan buat Bali United dengan jaringan kelima sekaligus melengkapkan malam gemilang Bali United meraih tiga mata di laman sendiri.
Aksi tamat, Bali United 5-2 Stallion Laguna.
Dalam saingan Kumpulan G Piala AFC ketika ini, wakil Australia, Central Coast Mariners mengungguli tempat pertama diikuti wakil Malaysia, Terengganu FC. Aksi seterusnya menyaksikan Bali United bakal berkunjung ke Terengganu pada Rabu, 13 Disember 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.