Kelab Vietnam, Hai Phong pulang hampa apabila diikat PSM Makassar 1-1 dalam aksi kelima Kumpulan H hari ini.
Dengan kedua-dua pasukan terikat enam mata selepas empat perlawanan, kemenangan penting jika mereka mahu layak sebagai pasukan tempat kedua terbaik Zon ASEAN.
Biarpun beraksi di gelanggang sendiri, The Flamboyant lebih banyak mendominasi perlawanan dengan Sofascore mendedahkan penguasaan bola sebanyak 74%.
Ini memaksa barisan pertahanan Juku Eja diketuai Yuran Fernandes bekerja keras menangkis setiap asakan Hai Phong. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih The Flamboyant, Dinh Nghiem Chu membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mencari gol pembukaan.
Malangnya, PSM terus mengekalkan permainan berdisiplin dan menyerap setiap asakan pelawat.
Kesungguhan The Flamboyant akhirnya membuahkan hasil apabila Lucao meletakkan mereka di depan pada minit ke-74.
Bagaimanapun, keceriaan kem pelawat tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Yance Sayuri menyumbat gol penyamaan pada minit ke-77.
Hai Phong terus menguji barisan pertahanan tuan rumah untuk mendapatkan gol kedua perlawanan.
Namun begitu, pada akhirnya, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata. Keputusan ini menyaksikan Hai Phong dan PSM masing-masing kekal di tempat kedua dan ketiga Kumpulan H.
Sofascore memilih Hoang Nam Luong sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9 mata. Manakala Yance dipilih pemain terbaik Juku Eja dengan 7.7 mata.