Hasrat PSM Makassar untuk mencatatkan kemenangan pertama di pentas asia musim ini menjadi kenyataan apabila berjaya menumbangkan kelab Singapura, Hougang United dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Kapten I Wayan Dipta sebentar tadi.
PSM Makassar memulakan perlawanan dengan positif apabila menguasai perlawanan dan beberapa serangan dilancarkan bagi mendapatkan gol awal.
Usaha berterusan PSM Makassar akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-22, Safrudin Tahar menyudahkan hantaran dari pemain pertahanan, Yuran Fernandes untuk jaringan pertama perlawanan. PSM 1-0 di hadapan.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila selang tujuh minit selepas itu, PSM berjaya menambah jaringan. Kali ini giliran Yuran Fernandes yang merembat masuk hantaran daripada Everton Nascimento.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, PSM meneruskan tekanan kepada Hougang apabila berjaya menambah jaringan pada minit ke-55 melalui Adilson Silva. Gol tersebut terhasil daripada satu serangan balas sebelum Adilson merembat deras menewaskan penjaga gol Hougang, Zaiful Nizam.
Biarpun penguasaan bola lebih terarah kepada Hougang namun keghairahan PSM untuk mencari gol nyata menjadi perbezaan di antara kedua-dua pasukan.
Hougang dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78. Tugasan sepakan penalti itu diberikan kepada penyerang import Hougang, Dorde Maksimovic. Penyerang dari Serbia itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya sekali gus merapatkan jurang kedudukan menjadi 3-1.
Walaupun penguasaan terus dipamerkan Hougang, namun kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat PSM Makassar dalam saingan Piala AFC musim ini.
PSM kini menghuni tempat ketiga dalam kumpulan H Piala AFC dengan mengumpul 3 mata. Manakala Hougang berada di tangga ke-4 dengan turut mengumpul 3 mata namun kurang dari segi jaringan. Sabah FC dan Hai Phong berada di tangga teratas dan di tangga kedua kumpulan dengan masing-masing mengumpul 6 mata.