Advertisements
AFC Cup: Terengganu Baham Bali United
AFC Cup
MakanBola
AFC

Terengganu FC menutup kempen Piala AFC musim ini dengan nota kemenangan selepas berjaya menewaskan kelab dari Indonesia, Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan Terengganu dilihat menguasai perlawanan manakala Bali United lebih banyak menunggu untuk melakukan serangan balas.

Peluang keemasan hadir buat Terengganu pada minit ke-29 namun rembatan dari luar kotak penalti oleh Ivan Mamut berjaya diselamatkan penjaga gol Bali United, Muhammad Ridho.

Hasil serangan bertali arus, Terengganu akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-38 melalui rembatan deras jarak jauh yang terus menerjah gawang. Terengganu di hadapan 1-0.

Ketinggalan satu gol, Bali United cuba bangkit melalui beberapa serangan balas untuk mencari penyerang mereka, Ilija Spasojevic namun benteng Terengganu sangat berdisiplin mematahkan gerak-gerak serangan yang diatur pihak lawan.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan keputusan 1-0 memihak Terengganu.

Bersambung babak kedua, Terengganu meneruskan penguasaan bola demi menjarakkan kedudukan semasa. Hujan juga kembali turun menjadikan perlawanan semakin mencabar.

Terengganu hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-71 melalui Norhakim Hassan yang menyambar hantaran dari Ivan Mamut namun percubaan beliau hanya singgah ke tiang gol.

Asakan terus dilancarkan dengan beberapa percubaan Adisak Kraisorn juga telah menguji Muhammad Ridho di gawang Bali United namun ketumpulan penyudah menghampakan bekas penyerang kebangsaan Thailand itu.

Serangan bertubi-tubi Terengganu akhirnya membuahkan kejayaan apabila Sardor Kulmatov menambah duka Bali United dengan jaringan kedua pada minit ke-88 selepas pemain pertahanan dari Uzbekistan itu menyudahkan hantaran lolos daripada Nik Sharif.

Adisak dan Nik Sharif turut berpeluang untuk menambah jaringan buat Terengganu namun ianya gagal diterjemahkan kepada gol.

Wisel penamat akhirnya ditiupkan selepas lima minit masa tambahan dengan Terengganu berjaya memenangi perlawanan menewaskan Bali United dengan keputusan 2-0.

Terengganu menamatkan saingan Kumpulan G Piala AFC di tangga kedua namun gagal layak ke pusingan seterusnya. Bali United pula menamatkan saingan di tangga ketiga.