AFC Denda FAM Kali Ke-4
MakanBola
FA Malaysia

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini selepas badan induk itu didapati bersalah kerana lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2.

Ini berdasarkan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib AFC yang diumumkan pada 25 Februari lalu.

Perlawanan yang dimaksudkan ialah aksi persahabatan antara Negeri Sembilan FC dan Timor Leste yang berlangsung pada 9 November 2025.

Aksi persahabatan itu dilihat sebagai aksi pemanas badan buat pasukan ASEAN itu sebelum menghadapi Tajikistan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Ini kali keempat FAM didapati bersalah atas kesalahan sama. Susulan itu, AFC menjatuhkan denda sebanyak AS$1,250 (RM4,900) kepada badan induk itu.

FAM bukan satu-satunya badan induk yang didenda AFC atas kesalahan lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2.

Turut dikenakan denda ialah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) dan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).

Negeri Sembilan yang ketika itu dibimbing Nidzam Jamil menewaskan Timor Leste 2-1. Bekas penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin meledakkan dua gol buat Sang Rusa.