Advertisements
AFC MA Ranking: JDT Menang, Malaysia Pintas Australia
Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Asia membantu Malaysia memintas Australia bagi kedudukan AFC MA Ranking.

Skuad kendalian Hector Bidoglio merakamkan kemenangan kedua dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) apabila menewaskan juara K1 League, Ulsan HD dengan keputusan 3-0.

Kejayaan itu membolehkan kedudukan AFC MA Ranking Malaysia melonjak tinggi berdasarkan kemas kini yang dikeluarkan oleh Footy Rankings.

Malaysia ketika ini mengumpul tambahan +8.333 mata yang menjadikan jumlah mata keseluruhan kepada 32.861 mata dan menghuni kedudukan ke-5 Asia Timur.

Prestasi cemerlang JDT juga membantu Malaysia untuk memintas kedudukan Australia yang jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam Asia Timur dengan 32.624 mata.

Secara keseluruhannya, JDT telah menyumbangkan 10.000 mata manakala satu lagi wakil Malaysia di Asia, Selangor merekodkan 6.667 mata dan membawa kepada 8.333 mata tambahan buat Malaysia musim ini.

Kedudukan ini juga penting untuk memastikan slot automatik Malaysia ke ACLE dan ACL2 bagi musim 2026/27 dapat dikekalkan menerusi persembahan cemerlang wakil negara dalam kejohanan tersebut.

Malaysia bagaimanapun kekal menghuni tangga ke-12 di Asia secara keseluruhan dengan Jordan melonjak ke kedudukan 11 terbaik ketika ini.

JDT bakal terbang ke China bagi aksi kelima peringkat kumpulan menentang Shandong Taishan sementara Selangor bakal melayan kunjungan Muangthong United di MBPJ.