Advertisement
AFC MA Ranking: Kedudukan Malaysia Selepas Selangor Tumbangkan Jeonbuk Hyundai
ACL
MakanBola
Selangor FC

Kedudukan AFC MA Ranking Malaysia terus mengukuh selepas wakil Malaysia, Selangor FC menundukkan Jeonbuk Hyundai Motors.

Skuad kendalian Nidzam Jamil berterima kasih kepada jaringan daripada Harith Haiqal dan juga Ali Owan untuk memastikan Gergasi Merah kebal selepas tiga perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Selangor mengukuhkan kedudukan pada tangga teratas kumpulan dengan 7 mata untuk mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.

Prestasi cemerlang dua wakil Malaysia di Asia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Selangor menyaksikan masing-masing menyumbang 7.000 dan 6.667 mata yang membawa kepada tambahan +6.833 mata buat Malaysia berdasarkan kemas kini Footy Rankings.

Hal ini membolehkan Malaysia menghuni tangga ke-12 Asia dengan 31.361 mata dan mendekatkan diri dengan Australia yang berada pada kedudukan ke-11 dengan 32.124 mata.

Prestasi memukau JDT dan Selangor juga membolehkan Malaysia menjarakkan diri dengan pencabar terdekat di Asia Timur iaitu Vietnam di tangga ke-7 dengan 28.372 mata.

Kedudukan teratas Asia Timur kekal menjadi milik Jepun dengan 86.9423 mata disusuli oleh Korea Selatan (82.970) dan juga China (51.332).

Kedudukan AFC MA Ranking Malaysia penting bagi memastikan slot automatik ke saingan ACLE dan ACL2 bagi tahun 2026/27 kekal menjadi milik negara.

JDT bagaimanapun kekal menjadi penyumbang terbesar mata AFC MA Ranking Malaysia sejak tahun 2016 hasil persembahan cemerlang dalam saingan AFC Cup dan juga ACL.

Aksi seterusnya menyaksikan JDT bakal bertemu Ulsan HD pada 5 November 2024 manakala Selangor akan menentang Jeonbuk pada 7 November.