Afrika Selatan Muncul Juara Piala Dunia Ragbi Benam New Zealand
UltraSukan
Springboks

Afrika Selatan kekal bertakhta sebagai juara dunia ragbi dengan menggondol Piala Dunia Ragbi 2023 awal pagi ini.

Kejayaan itu diraih selepas mereka mengenepikan satu lagi jaguh ragbi dunia, New Zealand di pentas final yang diadakan di Stade de France, Saint-Denis, Perancis hari ini.

Dari segi rekod pertemuan, kedua-dua pasukan kelihatan seimbang dengan New Zealand memenangi tiga daripada lima pertemuan Piala Dunia sebelumnya.

Bagaimanapun, The Springboks hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan selepas mereka memenangi edisi sebelumnya pada 2019 di Jepun.

Kelebihan awal dimanfaatkan Afrika Selatan dengan pendahuluan awal pada kedudukan 3-0.

Kapten All Blacks, Sam Cane bernasib malang apabila dibuang padang dengan perlawanan berbaki kurang daripada 30 minit selepas sebelumnya hanya dikenakan kad kuning.

Biarpun New Zealand cuba mengejar, The Springboks memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 12-11.

Kejayaan ini memastikan Afrika Selatan muncul juara dunia buat kali keempat sekaligus pasukan ragbi pertama yang mencapai rekod ini.

Final ini juga dianggap istimewa buat Beauden, Jordie dan Scott Barrett. Trio pemain All Blacks itu mencipta rekod sebagai pemain bersaudara pertama yang beraksi di final Piala Dunia Ragbi.