Aidil Sharin Kongsi Sebab Tidak Turunkan Haziq Aiman
MakanBola
Kuching City FC

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin mendedahkan sebab beliau tidak menurunkan penjaga gol muda, Haziq Aiman Mohd Esa dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).

Aksi tersebut menyaksikan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli diberi tugas mengawal gawang Kuching City. Haziq membantu The Cats meraih kemenangan 5-1 untuk menempah tiket ke suku akhir.

Apabila ditanya tentang keputusan beliau tidak menurunkan Haziq Aiman, Aidil memaklumkan ini dipengaruhi oleh beberapa perubahan yang dibuat beliau dalam kesebelasan utama.

“Anda tahu amat penting dari segi pengurusan insan untuk membuatkan semua orang gembira. Ia bukan mudah tetapi kita bertuah kerana kita berjaya melakukannya (mara ke suku akhir Piala FA).

“Saya sebenarnya nak bagi peluang kepada penjaga gol lain peluang untuk beraksi tetapi kita pertimbangkan juga sedikit perubahan (dalam kesebelasan utama) dalam minda saya.

“Jadi, harapnya anda tahu pemain muda mendapat minit permainan seperti Zharmien (Asyraf), anda boleh lihat itu juga satu faktor. Saya nak cuba bangunkan pemain muda bukan saja untuk beri mereka peluang (beraksi) tetapi demi masa depan Malaysia,” katanya selepas perlawanan.

Kuching City akan berdepan satu lagi pasukan Kelantan, Kelantan City FC di peringkat suku akhir. Kelantan City mara selepas menyingkirkan Negeri Sembilan FC 4-3 secara agregat.