Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak melabel Terengganu FC sebagai satu pasukan bertaraf Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat anak buahnya menentang Peteh dalam aksi terbaru Liga Super di Kuching pada 1 Mei lalu.
Aidil memberi label tersebut selepas kagum melihat Terengganu mengikat juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selain itu, kelebihan pemain berkualiti yang dimiliki Terengganu turut membantu pasukan itu meraih gol awal menerusi Shervoni Mabatshoev.
“Mereka adalah pasukan yang berkualiti dan mempunyai pemain yang berkualiti. Malah, keputusan seri mereka pun menunjukkan mereka berada pada tahap pasukan Liga Juara-Juara.
“Hari ini, kami cuba melakukan perubahan taktikal dan cuba mengekang mereka di bahagian sayap tetapi pada separuh masa pertama ia tidak menjadi.
“Saya rasa kami sekali lagi melepaskan gol mudah yang tidak sepatutnya berlaku seperti yang pernah kami lakukan ketika menentang DPMM. Ia tidak boleh diterima,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Perubahan taktikal yang dibuat Aidil pada separuh masa kedua membantu Kuching City bangkit meraih kemenangan.
Beliau menyifatkan perubahan tersebut memastikan The Cats beraksi lebih baik dan mengekang pelawat mencipta peluang untuk baki perlawanan.
“Pada awal separuh masa kedua, kami memasukkan Gabriel (Nistelrooy) dan menukar formasi. Yuki (Tanigawa) juga dimainkan di posisi tengah berbanding lebih defensif sebelum ini,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan Kuching City kembali memintas Selangor FC di tangga kedua liga dengan 47 mata.