Liga Super: Kuching City Bangkit Bergaya Kalahkan Terengganu
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City menghidupkan semula peluang ke Asia selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Negeri.

Kebangkitan dilakar oleh Kuching City apabila meledak dua gol di babak kedua bagi memusnahkan impian Terengganu sekali gus memberi harapan untuk layak beraksi di pentas Asia musim hadapan.

Barisan utama dipertaruhkan oleh kedua-dua kelab kali ini dengan Kuching City menurunkan Haziq Nadzli di gawang gol tatkala Careca mengetuai barisan pemain Terengganu.

Pelawat terlebih dahulu di depan seawal minit ke-12 apabila tandukan Shervoni Mabatshoev berjaya menewaskan Haziq Nadzli di pintu gol Kuching City untuk menceriakan peminat Terengganu.

Sepakan penalti oleh Ngah Wanja pada minit ke-64 kembali memberi suntikan moral buat tuan rumah sebelum Jerome Etame mencetak gol kemenangan ketika aksi berbaki 9 minit lagi.

Aksi penuh sengit 90 minit di Stadium Negeri berakhir dengan kemenangan 2-1 buat Kuching City sekali gus melonjakkan kedudukan anak didik Aidil Sharin ke tangga kedua Liga Super.