Liga Super: DPMM Lebur Impian 3 Mata Kuching City
MakanBola
DPMM FC

Hasrat Kuching City FC merampas tempat kedua Liga Super daripada Selangor FC musnah apabila sekadar seri dengan DPMM FC di Bandar Seri Begawan.

Kuching City perlu menang jika ingin merampas semula kedudukan itu. Ini kerana kedudukan itu menawarkan slot kelayakan secara merit ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Hakeme Yazid Said terus menjadi nadi kreatif DPMM. Ronald Ngah Wanja terus menjadi sandaran gol pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak.

Kuching City membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi bekas pemain sayap Selangor, Danial Asri.

Penyokong di Stadium Negara Hassanal Bolkiah kembali ceria apabila Jordan Rodrigues menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

DPMM kemudiannya mendahului menerusi penjaring terbanyak mereka dalam liga, Jordan Murray pada minit ke-30.

The Cats cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Aidil membuat satu pertukaran dengan memasukkan Danial Amier Norhisham sebagai pengganti Gabriel Nistelrooy.

Kuching City berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-63. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan pemain DPMM ke atas pemain pelawat dalam kotak penalti.

Malangnya, penalti yang diambil Ngah gagal menepati sasaran. Ini sekaligus memberi kelegaan kepada penyokong tuan rumah di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Jurulatih DPMM, Jamie McAllister kemudiannya memasukkan penjaga gol Brazil, Michel Americo dos Santos menggantikan Haimie Abdullah Nyaring.

The Cats kemudiannya memasukkan Jordan Mintah dan Ahmad Israiwah untuk memburu gol penyamaan. Akhirnya, gol yang dicari tiba pada minit akhir babak kedua menerusi Mintah.

Keputusan ini menyaksikan Kuching City di tempat ketiga dengan 44 mata. DPMM pula di tangga kelapan dengan 23 mata.

Selepas ini, The Cats akan menentang Terengganu FC di Kuching pada 1 Mei. DPMM pula akan ke Perlis untuk menentang Imigresen FC pada 3 Mei.