Pemain bola sepak Singapura, Ilhan Fandi akhirnya berjaya mendapatkan penampilan pertamanya di Liga Belgium bersama pasukannya KMSK Deinze.
Perlawanan di antara Deinze dan Lierse. K itu menyaksikan Ilhan dibawa masuk pada minit ke-85 dengan menggantikan Lennart Mertens. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 4-0 buat Deinze.
Selepas tamat perlawanan, Ilhan dilihat tidak dapat menahan sebak selepas mendapatkan penampilan pertamanya di Belgium kerana bagi Ilhan, bermain di liga eropah merupakan impiannya dalam karier bola sepak.
“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada semua. Anda semua buatkan saya seperti keluarga sendiri. Saya datang dari negara yang kecil, Singapura. Sudah pasti saya dan ramai lagi mengimpikan beraksi di eropah.
“Saya gembira anda semua terus menyokong saya walaupun saya tahu ianya sukar buat saya. Dan kepada semua jurulatih, saya hargai bantuan anda. Ini (debut) hanyalah permulaan,” ucap Ilhan seperti disiarkan di Facebook KMSK Deinze.
Selepas selesai memberikan ucapan, bergema bilik persalinan dengan tepukan gemuruh rakan-rakan sepasukannya malah terdapat beberapa pemain yang turut memeluk Ilhan.
Untuk rekod, Ilhan menyertai KMSK Deinze pada Januari tahun lalu dari Albirex Niigata (Singapura). Namun beliau menerima tamparan hebat apabila disahkan mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) yang memaksa beliau berehat panjang.
KMSK Deinze merupakan pasukan yang beraksi di Challenger Pro League (Liga Divisyen 2 Belgium). Mereka berada di landasan terbaik untuk mara ke liga utama Belgium (Jupiler Pro League) dengan kini menduduki tangga ketiga liga.