Kelibat pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rahsid mencuri tumpuan apabila mempamerkan kebolehan baharunya bersama pasukan.
Pemain berusia 24 tahun itu meraih bualan ramai terutamanya peminat Harimau Selatan tatkala sebuah video ketika sesi latihan tular.
Menerusi perkongsian oleh Johor Southern Tigers, gelagat Akhyar beraksi selaku penjaga gol ketika sesi latihan mengundang reaksi pelbagai.
Pemain bertubuh kecil ini mempamer kebolehan untuk menyelamatkan sepakan rakan sepasukan, Ramadan Saifullah sebelum menempis keluar percubaan Endrick Dos Santos.
Bekas bintang Kedah Darul Aman itu kelihatan cukup berpuas hati dengan usahanya untuk menafikan percubaan tersebut.
Akhyar sempat meninggalkan satu komen seolah-olah meminta agar Syihan Hazmi melihat aksinya.
Komen tersebut dilihat hanyalah gurauan kepada rakan sepasukan dan tidaklah bermaksud apa-apa.
Kedudukan Syihan dilihat terus kukuh apabila hanya bolos 3 gol dalam saingan Liga Super musim 2023 dan membantu JDT untuk kekal memacu tampuk Liga Super.
JDT akan melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi berikutnya pada Sabtu.