Pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid bakal diberikan rehat dan tempoh bertenang oleh pasukannya selepas pemain itu menjadi mangsa samun minggu lalu.
Dengan tempoh rehat yang diberikan disebabkan kecederaan dan bertenang, aksi Akhyar tidak akan dapat disaksikan dalam perlawanan sulung Liga Super Terengganu yang bakal bertemu Perak pada Sabtu ini (11 Mei).
Selain Akhyar, Terengganu juga tidak dapat menggunakan pemain pertahanan import mereka iaitu Matthew Steenvoorden yang turut mengalami kecederaan. Pengumuman itu telah dikongsikan oleh pihak kelab melalui satu hantaran di Instagram.
“Akhyar tidak akan dapat beraksi Sabtu ini. Selain mengalami kecederaan berikutan insiden yang berlaku, pihak kelab juga memberikannya ruang dan tempoh bertenang dan mengharapkan pemain ini akan kembali pada minggu berikutnya bersama pasukan.
“Selain Akhyar, Stenvoorden juga mengalami kecederaan semasa aksi pra-musim dan beliau juga tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini,” umum pihak kelab di laman Instagram.
Akhyar hadir ke Terengganu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Selain Akhyar, dua lagi pemain JDT turut dipinjamkan ke Terengganu musim ini iaitu Azam Azmi dan Safawi Rasid.
Terdahulu, Akhyar menjadi mangsa samun di sebuah apartment di Terengganu. Akibat daripada insiden tersebut, Akhyar mengalami kecederaan di beberapa anggota badan seperti di kepala dan kaki.