Advertisement
Akmal Rizal Congak Taktik Berbeza Lawan Selangor
Liga Super
MakanBola
Penang FC

Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal mencorak taktik berbeza menjelang aksi Liga Super menentang Selangor FC.

Penang tampil dengan prestasi baik selepas merekodkan kemenangan pertama liga pada 13 Julai lalu. Skuad Harimau Kumbang meraih kemenangan 2-0 ke atas Perak FC.

Neto Oliveira dan Alif Ikmalrizal Anuar mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut. Meskipun begitu, Akmal melihat perlawanan menentang Merah Kuning memerlukan perancangan taktikal yang berbeza.

Ini kerana Selangor bukan saja akan beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium MBPJ. Malah, anak buah Nidzam Jamil itu dijangka ingin menghentikan siri tiga kekalahan yang dialami dalam empat perlawanan termasuk separuh akhir pertama Piala FA 2024.

“Tetapi setiap perlawanan memerlukan pelan-pelan taktikal yang berbeza. Untuk Selangor, kita perlu menyediakan pelan taktikal berlainan kerana kita tahu kualiti yang dimiliki pasukan Selangor.

“Pemain-pemain yang kita perlu awasi terutama di bahagian serangan mereka mempunyai kualiti yang cukup bagus.

“Dari situ, kita perlu beri penekanan bagaimana barisan pertahanan dan tengah kita menghalang perlu menghalang serangan yang diatur pasukan Selangor,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama MakanBola.

Akmal turut mengakui perancangan ini juga memerlukan kepelbagaian dalam merencana serangan dan menjaringkan gol.

Ini kerana seandainya Penang mahu mencipta kemenangan, mereka memerlukan pelan yang berkesan untuk menembusi gawang naib juara Liga Super 2023 itu.

“Dan pada masa sama, bagaimana merencana serangan kita (dalam aksi menentang Selangor). Banyak variasi bagaimana kita nak melakukan serangan dan peluang untuk menghasilkan jaringan,” tambahnya.

Selangor dan Penang bakal berentap di Stadium MBPJ pada 27 Julai ini.