Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak gentar dengan prospek berjumpa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di peringkat suku akhir Piala FA 2024.
Penang mencipta kejutan dengan layak ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan Sri Pahang FC menerusi penentuan sepakan penalti.
Meskipun begitu, mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar selepas ini. Menanti skuad Harimau Kumbang di suku akhir ialah Kedah.
Sang Kenari bangkit daripada dua kekalahan dalam liga dengan membelasah Bukit Tambun 5-0 dalam satu lagi aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA.
Meskipun sedar Kedah banyak menaikkan namanya semasa aktif sebagai pemain profesional, Akmal tetap mendambakan kemenangan bersama Harimau Kumbang.
Ini kerana beliau ingin terus membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih Penang lebih-lebih lagi ini tahun kelimanya bersama pasukan itu.
“Ya, memang sukar bermain dengan pasukan Kedah. Tetapi saya pun sudah lama bersama Penang, sudah masuk tahun kelima.
“Tapi apa pun bila berjumpa Kedah, saya takkan kalah. Saya nak menang dengan Kedah sebab saya pun ada sesuatu yang nak dibuktikan bersama pasukan Penang. Dan Insya Allah kita akan bagi yang terbaik,” katanya dalam temubual selepas perlawanan di Astro Arena baru-baru ini.
Selepas ini, Penang bakal turun menentang Kedah untuk aksi liga pada 22 Jun. Ini disusuli dua aksi timbal balik suku akhir Piala FA membabitkan lawan sama pada 28 Jun dan 4 Julai.