Akmal Rizal Mahu Selangor Kekalkan Hugo Boumous
MakanBola
Selangor FC

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap Selangor FC dapat mengekalkan khidmat pemain perancang Perancis, Hugo Boumous.

Ini kerana pada hemat beliau, Boumous dilihat menambah variasi dan pergerakan buat Selangor ketika melancarkan serangan ke atas pihak lawan.

Selain itu, Akmal melihat bekas pemain perancang Mohun Bagan itu sebagai senjata tambahan Selangor selepas Faisal Halim, Alvin Fortes dan Chrigor Moraes.

“Kalau saya sebagai jurulatih, saya mahukan beliau dikekalkan. Kerana kita lihat beliau boleh jadi watak yang penting di dalam situasi-situasi yang penting. Dan beliau juga sudah serasi dengan kem Selangor. 

“Saya rasa Selangor mungkin boleh bertindak pantas untuk mengekalkan beliau untuk musim yang baru nanti. Saya rasa ini adalah senjata tambahan untuk pasukan Selangor. 

“Sebab mereka dah ada Chrigor, ada Faisal Halim dan Alvin Fortes. Dan juga masukkan Hugo. Saya rasa bahagian serangan Selangor lebih ada banyak variasi dan pergerakan di situ,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

Boumous membantu Selangor menewaskan Penang FC 4-0 dalam aksi terbaru Liga Super. Selain mencetak satu gol, bekas pemain Stade Laval itu turut mencipta dua bantuan gol.

Pemilik nama penuh Hugo Adnan Boumous menyertai Selangor secara pinjaman dari Odisha dalam tetingkap perpindahan Januari. Beliau dijangka kembali ke kelab India itu pada akhir Mei ini.

Sejak menyertai Merah Kuning, Boumous sudah merekodkan 10 penampilan, dua gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.