Selangor FC terus menghangatkan perebutan tempat kedua Liga Super dengan menewaskan Penang FC di Stadium MBPJ.
Selepas Kuching City FC bangkit menewaskan Terengganu FC di Kuching, slot tersebut kembali dihuni anak buah Aidil Sharin Sahak dengan 47 mata.
Justeru, Selangor yang dibimbing Kim Pan-gon perlu menang ke atas Penang jika mahu kembali berada di kedudukan kedua liga.
Trio Chrigor Moraes, Faisal Halim dan Kim Ji-ho terus menjadi sandaran gol Selangor. Sang Harimau Kumbang kembali diperkuatkan dengan empat tonggak termasuk penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls.
Separuh masa pertama menyaksikan Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Moraes pada minit ke-11.
Empat minit kemudian, gawang Penang yang dikawal Ramadhan Hamin bocor lagi. Kali ini, giliran pemain perancang Perancis, Hugo Boumous mencetak nama sebagai penjaring.
Penang makin derita apabila Harith Haiqal Adam Afkar menanduk hantaran Boumous untuk gol ketiga pada minit ke-21.
Selangor berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail memasukkan Douglas Coutinho dan Haziq Kutty Abba untuk memperkemaskan rentak pasukan.
Malangnya, gawang pelawat bocor lagi pada minit ke-62. Sepakan percuma pemain gantian, Alvin Fortes terus menerjah jaring untuk gol keempat Selangor.
Kelebihan gol mendorong Pan-gon memilih merehatkan beberapa tonggak seperti Safuwan Baharudin, Ji-ho, Faisal, Boumous dan Noor Al-Rawabdeh.
Penang berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor kembali memintas Kuching City di tangga kedua dengan 49 mata.
Selepas ini, Selangor mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir pertama Shopee Cup menentang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) pada 6 Mei.
Penang pula berharap dapat bangkit dalam aksi Liga Super seterusnya menentang PDRM FC pada 8 Mei.