Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan mengkritik tindakan pemain yang mula berkelakuan kurang sopan di atas padang.
Baru-baru ini, terdapat beberapa insiden yang melibatkan pemain di Liga Super Malaysia yang gagal mengawal diri dan juga emosi mereka.
Hal ini menyebabkan tindakan tersebut mendapat perhatian daripada peminat bola sepak tanah air yang gusar dengan tingkah laku pemain ketika ini.
Berdasarkan perkongsian Razman kepada Nindia Bola, beliau merasakan bahawa perkara seperti ini tidak sepatutnya terjadi di Liga Malaysia.
“Saya rasa perkara sebegini tak sepatutnya berlaku. Dah dua perlawanan aksi ini berlaku. Pemain muda perlu belajar dan tidak mengulangi perkara sebegini.
“Fairuz perlu lebih matang kerana dia beraksi di liga profesional, tahap tertinggi bola sepak. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Perlawanan ini ada siaran langsung, ada VAR, semua orang boleh nampak apa yang beliau lakukan, jadi sesuatu yang tidak manis” jelasnya kepada Astro Arena.
Zaquan Adha pula melihat bahawa kegagalan emosi melibatkan Fairuz Zakaria ini sudah berlaku sejak dahulu lagi.
“Fairuz ni dari dulu kita cuit sikit dia cepat panas. Jadi itu salah satu cara untuk lawan dah tahu, kalau kita kacau dia sikit, dia akan hilang dia pun punya fokus.
“Ini liga kita, jangan tunjuk perkara yang tidak elok,” ujar Zaquan.
Fairuz dibuang padang ketika bertemu Kedah Darul Aman selepas bertindak keras terhadap Zamri Pin sebelum menumbuk muka Habib Haroon.
Aksi suku akhir kedua melibatkan Kedah dan juga Penang FC akan berlangsung di Stadium Darul Aman pada 5 Julai 2024.