Aksi Cemerlang Di Piala AFF Lonjak Nilai Pasaran Safawi Rasid
MakanBola
OFFICIALJOHOR

Pemain sayap Harimau Malaya, Muhamad Safawi bin Rasid kini menjadi antara pemain bola sepak di Malaysia yang mencecah nilai tertinggi. Kemenjadian Safawi dalam saingan Piala AFF baru-baru ini sekaligus menaikkan saham pemain muda berbakat ini.

Jika disemak di laman sesawang Transfermarkt.com, saham Safawi Rasid kini mencecah 325 Euro bersamaan RM 1.5 Juta setakat 23 November 2021. Nilai Safawi meningkat dimana sebelum ini pada Jun 2021, nilai Safawi ialah 300 Euro bersamaan RM 1.4 Juta.

Pengasas bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan nilai Safawi Rasid ketika ini. Antaranya adalah disebabkan kelab yang beliau wakili.

“Antara faktor (peningkatan nilai pasaran Safawi) sudah pasti termasuk JDT muncul juara (Liga Super) dan meraih kejayaan lain dalam Liga Malaysia (Liga M).”

Menurut Faidauz, Safawi sudah mula menunjukkan peningkatan prestasi setelah mengharungi kempen di Piala AFF tempoh hari. Namun ejen itu masih beranggapan bahawa Safawi belum mencapai tahap terbaik seperti mana suatu ketika dahulu.

“Dia (Safawi) pun sepanjang Piala AFF 2020 nampak sudah dapat semula prestasi dia. Dia nampak bagus di Piala AFF ini, walaupun mungkin masih lagi belum berada pada tahap terbaik macam dulu.”

Firdauz juga tidak menolak kemungkinan bahawa saham Safawi Rasid akan meningkat. Beliau menambah, jika Safawi bermula dengan baik pada musim ini dan cemerlang mengekalkan momentum terbaik, saham Safawi pasti akan terus meningkat.

“Sudah pasti perkara itu (prestasi di Piala AFF) akan memberi impak kepada nilai pasaran pemain. Apabila liga musim ini bermula dan kalau Safawi boleh kekalkan prestasi dia, nilai dia akan naik lagi.”

Safawi sebelum ini telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak selepas melalui kempen Piala AFF 2020. Itu juga menjadi antara pendorong utama nilai pemain berusia 24 tahun itu terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Benda ini memang jadi faktor, persembahan dia bersama pasukan kebangsaan dan bila menang anugerah (kasut emas) walaupun anugerah bersama pemain lain, ia akan menjadi antara faktor (peningkatan nilai pasarannya),” katanya kepada BH Sukan.