Penyokong Chelsea kecewa lagi selepas kelab kesayangan mereka tumbang 2-1 kepada Brighton & Hove Albion. Tetapi apa yang mencuri tumpuan penyokong di Stamford Bridge ialah kelibat dua fisio Seagulls yang mempunyai tubuh bak ahli bina badan.
Selepas Evan Ferguson mengalami kecederaan di atas padang, Dr Vicann During yang juga doktor pasukan bersama Adam Brett, ketua perkhidmatan perubatan Brighton segera mendapatkannya. Tatkala mereka membantu Ferguson berjalan di tepi padang, ramai terkejut dengan saiz fizikal kedua-dua fisio itu.
Sebaik gambar ini dimuatnaik di media sosial, ia mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Ada yang menyangka During dan Brett ialah penggusti profesional atau pengawal peribadi.
Ada juga secara bergurau meminta pengurus Brighton, Roberto De Zerbi menukar salah seorang pemain mereka dengan duo berkenaan bagi menjadikan pasukan pelawat lebih lasak atas padang.
Bagaimanapun, usaha kedua-duanya memulihkan kecederaan yang dialami Ferguson tidak berhasil. Ini mendorong De Zerbi memasukkan Danny Welbeck menggantikan penyerang muda Ireland itu.
Welbeck kemudiannya menyumbat jaringan penyamaan untuk Brighton pada minit ke-42. Kemenangan Seagulls ke atas Chelsea disahkan menerusi rembatan 30 meter Julio Enciso pada minit ke-69.