Aksi penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli ketika bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Sabtu mendapat pujian daripada pundit bola sepak yang juga jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Dalam perlawanan sengit itu, Haziq telah mempamerkan beberapa aksi memukau dalam menyelamatkan pintu gol Perak daripada dibolosi. Perak berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Luka Milunovic.
“Saya bersetuju (Haziq sebagai pemain terbaik perlawanan) khususnya pada separuh masa pertama, dua situasi satu lawan satu yang diselamatkan memberi keyakinan kepada dia sendiri dan juga pasukan,” jelas Zainal Abidin dalam siaran langsung di Astro Arena.
Dalam pada itu, Zainal juga memberikan pendapat mengenai posisi penjaga gol yang tidak boleh melakukan sebarang kesilapan berbanding posisi lain.
“Saya selalu memberitahu penjaga gol. Penyerang buat kesilapan ada yang cover. Tengah buat kesilapan, pertahanan boleh cover. Tapi jika penjaga gol buat kesilapan, tiada siapa yang cover. Sama ada ambil bola dalam gol atau belakang gol. Itu sahaja,” katanya lagi.
Ketangkasan Haziq turut mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan yang percaya penjaga gol berusia 26 tahun itu telah mendapatkan semula prestasi kemuncaknya seperti dahulu.
Untuk rekod, Haziq hadir ke Perak musim ini selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Ianya bukan tugas mudah buat Haziq untuk merebut posisi penjaga gol kerana perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol yang tidak kurang hebatnya iaitu Ramadhan Hamid dan Firdaus Irman.