Aksi antara dua pasukan jiran, Johor Darul Ta’zim (JDT) vs Lion City Sailors berlaku sekali lagi.
Skuad kendalian Hector Bidoglio dalam momentuk cemerlang terutamanya selepas menundukkan Perak dengan keputusan 5-0.
Ujian pemanas badan menanti pasukan Harimau Selatan apabila bakal melayan kunjungan Lion City Sailors di Stadium Sultan Ibrahim.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 16 November itu bakal membantu para pemain JDT terus berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang sepak mula Piala Malaysia dan juga aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Sebelum ini, JDT telah pun menentang Lion City dan mencatatkan dua kemenangan masing-masing dengan keputusan 2-1 dan juga 4-0 di laman sendiri.
JDT juga baru-baru ini telah menguji sebuah lagi kelab Singapura iaitu Balestier Khalsa dan mencatatkan kemenangan 8-0 di laman sendiri.
Juara bertahan Liga Super itu bakal berdepan wakil China, Shandong Taishan bagi aksi kelima ACLE pada 26 November sementara Lion City bakal ke China juga menentang Zheijang bagi aksi ACL2.
Pasukan kendalian Aleksandar Rankovic tidak berada pada momentum terbaik apabila tunduk 2-3 di tangan kelab Indonesia, Persib Bandung pada aksi peringkat kumpulan ACL2 tempoh hari.
Perlawanan yang berlangsung pada jam 8 malam ini memberi peluang untuk penyokong hadir dan menyaksikan aksi secara percuma.